Ahli
Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima,
berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang
mengikuti mereka sampai masa kini.
Mereka beriman mengenai Allah
memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu
diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak
menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup,
mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan
kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua
perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti
makhluk.
Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau
menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam
Tahawi, Syafie, Abu Hanifah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat,
tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.
Tidak boleh
dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di
belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.
Dalam Ahli
Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti
sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya
(tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau
mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.
Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.
Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau
disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari
maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.
Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat.
Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid
mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah
ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini,
mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.
Dengan skema ini juga mereka
mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.
Mengenai
nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa),
apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah,
menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum
serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu
kepada mereka oleh Tuhan.
Ini diikuti dengan iman mengenai
malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar
yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan
berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang
jahat.
Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan
yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa,
menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.
Ia
mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan
membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan
zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia
bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk
terhadapnya.
Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah
sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah,
memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak
terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan
kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan
melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana
kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah
berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.
Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.
Ahli
Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati,
baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa,
bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu;
kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua
ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan
amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.
Ahli Sunnah
Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka,
tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu
kafir.
Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis
seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi
nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak
ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.
Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi
Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan;
talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil
arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.
Banyak
lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu
diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada
pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang
Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi
negatifnya.
Berwaspadalah. Wallahualam.
Petikan dari tulisan
Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady
Follow Us
Were this world an endless plain, and by sailing eastward we could for ever reach new distances