Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan beliau dengan fahaman Syiah.
Mohamad berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada panel peguam Pas untuk tindakan selanjutnya ke atas Ahmad Zahid yang menuduhnya terlibat dengan fahaman Syiah, satu ajaran sesat yang mengancam keselamatan negara.
"Saya telah ambil keputusan untuk menyerahkan kepada peguam untuk ambil tindakan mahkamah terhadap Ahmad Zahid saja.
"Pada masa ini peguam saya akan failkan saman ke atas Ahmad Zahid saja kerana bagi saya Ahmad Zahid adalah pencetus kepada tuduhan fitnah ke atas saya itu dan saya percaya tuduhan fitnah yang dilemparkan beliau ke atas saya didasari niat jahat bagi menjatuhkan maruah dan integriti saya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.
Menurut Mohamad lagi satu laporan polis akan dibuat ke atas Ahmad Zahid berhubung isu sama.
"Insya-ALLAH saya akan membuat satu laporan polis, apabila saya lapang nanti.
"Saya harap polis akan bersikap benar-benar profesional tanpa rasa gentar dan memihak bagi menyiasat kenyataan Ahmad Zahid selepas saya membuat laporan polis.
"Polis juga perlu maklumkan kepada masyarakat tentang ucapan Ahmad Zahid di Melaka yang meminta tembak gangster tanpa sebarang amaran," katanya.
Dalam perkembangan sama, Peguam Pas, Mohamed Hanipa Maidin berkata "letter of demand" akan dihantar kepada Ahmad Zahid pada minggu ini.
"Kita akan hantar 'letter of demand' kepada Ahmad Zahid, kita akan bagi masa tiga atau empat hari mungkin.
"Kita percaya beliau sudah bersedia dengan perkara ini," katanya.
0 comentários:
Sila Komen Mengenai Entry Ini !! Thanks .