Monday, March 4, 2013
TINDAKAN lambat pihak
keselamatan termasuk Menteri Dalam Negeri menyebabkan 30 penduduk Tanjung
Labian dan Tanjung Batu ditawan 50 militan Filipina yang bersenjata berat di
sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu.
Ketua Cawangan UMNO Tg
Labian, Kunsul Nahul yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi mengesahkan
anaknya, Rudy, merupakan salah seorang penduduk yang ditawan.
"Semalam kita sudah
sampaikan aduan kepada pegawai kanan polis dan pihak atasan polis, tetapi
sepanjang malam penduduk yang ketakutan tidakpun melihat seorang polis yang
datang sehinggalah mereka ditawan sekitar jam 9 pagi tadi," kata Kunsul
dengan nada kesal.
Tegas Kunsul, sewajarnya
tugas memburu serpihan militan yang digempur di Kampung Tanduo baru-baru ini
diserahkan kepada Tentera kerana mereka lebih berpengalaman dalam bidang
militan, gerila dan taktikal.
"Penduduk Labian kini
terancam kepada serangan lanun kerana PDRM gagal memastikan 13 kampung tradisi
di Zon Labian selamat daripada serangan lanun dan militan. Kami tidak yakin
kepada pasukan keselamatan setelah insiden yang berlaku di Tanduo dan kini
merebak ke Tanjung Batu, Pasusul dan Labian," kata Kunsul yang kesal
kerana PDRM tidak sensitif terhadap perasaan dan trauma penduduk kampung.
Sebagai petani dan nelayan
biasa, kata Kunsul, penduduk tidak mempunyai kekuatan untuk menumpaskan 50
militan bersenjata berat, apatah lagi menangkis serangan lanun yang mendarat
setiap minggu di Tg Labian dan sekitarnya terutama Tanduo.
Dalam pada itu, lima limit
lalu, seorang mangsa, Rudy Kunsul, yang berjaya melepaskan diri daripada
tawanan militan berkenaan kini berada di Pejabat Komtek PGA Sahabat 16 untuk
membuat laporan dan sedang disoal siasat.
Sabahkini.net berjaya
menghubungi Rudy melalui telefon dan dapat menemuramah Rudy yang masih dalam
nada cemas setelah berjaya melarikan diri dan menumpang kenderaan ke Bandar
Sahabat.
"Saya ditawan selama 45
minit dan ketakutan. Tetapi demi menyelamatkan nyawa, ketika militan leka, saya
bersama dua rakan saya menyisip keluar daripada rumah Pak Amil, tempat kami
dikumpulkan," kata Rudy yang ditawan militan berkenaan ketika sedang
meninjau kampung sekitar sekitar jam 9 pagi tadi,
Menurut Rudy, beliau dan
rakannya, Ismail Mahmud dan Fred terpaksa menggadai nyawa demi untuk
menyelamatkan nyawa 30 penduduk kampung termasuk lima wanita yang masih ditawan
pihak militan.
"Saya lihat mereka
(militan) menggunakan senjata berat seperti M16, Carbine, Armalite, Garrant dan
sebagainya. Sayapun tidak berapa kenal senjata lain. 60 peratus daripada
militan berkenaan bersenjata," ujar Rudy sebelum meminta diri kerana tiba
gilirannya untuk disoal siasat.
BERITA LANJUT AKAN MENYUSUL
0 comentários:
Sila Komen Mengenai Entry Ini !! Thanks .