Rasa lenguh pada bahu, tiada selera makan serta tubuh lesu biasanya sering dikaitkan dengan keletihan. Biarpun sudah berehat lama serta menepati tempoh tidur mencukupi, tubuh masih kurang bermaya hingga akhirnya berat badan mulai susut secara perlahan-lahan.
Nampak remeh tetapi jika simptom ini mula menjejaskan kualiti kesihatan diri, segeralah berjumpa pakar kerana ia mungkin petanda awal kepada barah hati yang meragut nyawa hampir 610,000 penduduk dunia setiap tahun.
Menurut Perunding Onkologi Institut Kanser Pantai Kuala Lumpur, Dr John Low, masyarakat negara ini selalu memandang remeh simptom seperti itu kerana menganggap ia perkara biasa.
“Walaupun simptom ini boleh menjadi petanda kepada penyakit lain, individu yang mengalaminya perlu segera mendapatkan nasihat pakar agar tidak berlarutan.
“Walaupun simptom ini boleh menjadi petanda kepada penyakit lain, individu yang mengalaminya perlu segera mendapatkan nasihat pakar agar tidak berlarutan.
“Bagi penyakit barah hati pula, jika ia dikesan awal, pembedahan berupaya menawarkan pesakit peluang lebih baik untuk sembuh.
“Bagaimanapun, hanya 15 peratus pesakit sesuai untuk dibedah kerana barah hati selalunya dikesan pada peringkat akhir. Jarang seorang pesakit barah hati yang tidak sesuai dibedah hidup lebih setahun selepas diagnosis,” katanya.
Pesakit lelaki didapati menghidap penyakit ini dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.
Di Malaysia, barah hati mencatatkan barah kelima paling biasa menjejaskan lelaki dengan kadar sebanyak 5.7 bagi setiap 100,000 penduduk berusia 50 hingga 60 tahun.
Tambah Dr Low, penyakit ini tidak bertindak balas secara baik menerusi kemoterapi konvensional tetapi terapi sasaran seperti sorafenib mampu mengurangkan pembangunan sel barah dan pada masa sama meninggalkan sel normal tanpa kesan luka.
Barah hati yang tidak boleh dibedah disebut karsinoma hepatoselular atau HCC dan tidak seperti barah hati metastatik, HCC tidak bermula daripada organ lain seperti barah payudara atau kolon sebelum merebak ke hati.
Dalam kebanyakan kes, punca biasanya parut pada hati atau chirrhosis. Chirrhosis lazimnya berpunca daripada pengambilan alkohol, selain disebabkan masalah auto imun, penyakit yang menyebabkan radang berpanjangan di hati, hepatitis B atau C dan terlalu banyak iron dalam tubuh (hemochromatosis).
Pesakit yang menghidap hepatitis B atau C berdepan risiko tinggi meskipun tidak mengalami chirrhosis.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pesakit barah hati dapat memperbaiki kualiti hidup mereka dengan pengambilan sorafenib.
Sejak 2009, program yang menawarkan sumbangan sorafenib kepada pesakit ini atau lebih dikenali NexPap berjaya memberi manfaat kepada lebih 120 pesakit.
Sorafenib rawatan oral antikanser diluluskan di Malaysia, memberikan peningkatan ketara secara keseluruhan kelangsungan hidup bagi pesakit dengan HCC.
Rawatan ini bertindak dengan menyasarkan lalu menyekat protein isyarat dalam sel bagi menghentikan pertambahan sel ketumbuhan, sekali gus menyekat bekalan darah ke kawasan ketumbuhan.
Terapi khas ini ditujukan kepada sel barah dan boleh dikatakan tidak menjejaskan sel biasa. Pesakit cuma perlu membeli bekalan dua bulan sorafenib dan kemudian Bayer HealthCare akan menyumbangkan dos ubat untuk 12 bulan berikutnya.
Sorafenib turut diluluskan penggunaannya di lebih 70 negara untuk rawatan peringkat lanjutan kanser buah pinggang dan rawatan HCC di lebih 40 negara.
Menariknya, Malaysia antara negara terawal membenarkan penggunaan ubat oral berkenaan selepas ia diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat untuk rawatan penghidap HCC pada November 2007.
Antara yang mendapat manfaat daripada program NexPap ini ialah Kamarudin Samsudin, 71, yang kini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sihat.
Kamarudin sebelum ini disahkan menghidap hepatitis B, diabetes jenis dua dan artritis gout yang akhirnya membawa kepada barah hati.
“Saya didiagnosis kanser hati pada 2009 apabila doktor mendapati diabetes tidak terkawal walaupun menjalani proses rawatan. Doktor minta saya jalani prosedur transertial chemoembolization (TACE). Saya seterusnya menjalani kemoterapi,” katanya.
Bagaimanapun, proses rawatan yang dirasakan hampir selesai itu mula memberikan masalah lain kepadanya apabila buah pinggang Kamarudin mula sakit dan mengalami sakit kuning selepas rawatan.
Julai tahun yang sama juga kemudiannya menjadi titik baru dalam sesi rawatannya apabila doktor menyarankan terapi sorafenib. Walaupun mengalami kesan sampingan tidak selesa seperti alahan pada kulit dan cirit-birit, Kamarudin cekal mengharunginya.
Selepas menjalani pemeriksaan pengimbas pelbagai resolusi (MRI), didapati ada ketumbuhan baru di dalam hatinya.
“Disebabkan itu, saya perlu melalui ujian Radio Frequency Ablation (RFA) melalui tenaga elektrik untuk membunuh ketumbuhan berkenaan.
“Selepas 31 bulan menjalani rawatan sorafenib, doktor menyarankan saya menjalani pembedahan pemindahan hati. Tapi saya diberitahu harapan pulih hanya 50 peratus,” ujarnya yang tetap meneruskan pembedahan itu.
Pembedahannya berjaya dan bapa kepada empat anak serta lima cucu itu disahkan pulih serta bebas tanda malignansi selepas melalui dua kali imbasan pada awal dan pertengahan tahun ini.
Kamarudin juga tidak lagi menjalani rawatan sorafenib sejak April lalu, sebaliknya hanya rawatan diabetes, rawatan mesin MRI dan teknologi imbasan tomografi berkomputer (CT scan) setiap tiga bulan.
0 comentários:
Sila Komen Mengenai Entry Ini !! Thanks .